Kisah Cinta Bertemu Jodoh di Tilljannah.my

Arham & Shakirah

Nama saya Shakirah, seorang Admin Executive, dan suami saya, Arham, seorang HR Executive.

Kami mula mendaftarkan diri di Tilljannah pada penghujung 2023 sebagai ikhtiar masing-masing untuk mencari jodoh yang baik.
Hal ini kerana masing-masing sudah meningkat ke umur yang sudah cukup sesuai untuk melangkah ke alam rumah tangga dan sibuk dengan kerja dan ruang kenalan yang semakin mengecil. Kami memberi peluang kepada diri masing-masing untuk mencari alternatif yang patuh syariah dan menepati keperluan kami masing-masing.

Pengalaman kami di Tilljannah dan di luar, ramai juga yang tidak bersedia, tidak tahu cara taaruf dengan baik, terus minta sosial media misalnya, dan ada yang nak cuba-cuba sahaja. Hakikatnya, bukan semua orang mempunyai proses yang mudah walaupun telah berusaha. Namun selain usaha, perlu juga perancangan, istikharah dan tawakal. Semoga semua yang berusaha, akan membuahkan hasil yang barakah. Amiin.

Selepas melihat bio ringkas suami, kami mula berkenalan selepas saya menjawab salamnya.

Perkenalan kami bermula pada pertengahan bulan 11.2023, dan berjalan dengan baik. Masing-masing aktif bertanya dan menjawab soalan dengan hemah, cukup dan tidak berlebih-lebih.
Ini kerana sebelum melangkah ke Tilljannah, kami sudah bersedia dan merangka rancangan masing-masing tentang soalan-soalan penting dan hala perjalanan taaruf nanti, demi menjaga kelurusan niat kami yang ingin membina bahtera rumahtangga yang berkat dari sebelum kami disatukan.

Sebelum saling percaya untuk bertukar no.telefon, suami telahpun berani jujur menyatakan keadaannya yang tidak sama seperti orang lain, bahawa beliau adalah seorang OKU fizikal, dengan hanya mempunyai kaki kiri akibat kemalangan sebelum beliau SPM tahun 2011. Namun beliau juga meyakinkan saya setelah memberitahu bahawa beliau sangat berdikari dan sendirian di KL, berjauhan dari seluruh ahli keluarganya di Kedah. Ianya adalah perancangan beliau yang sangat teratur di mana saya sudahpun tertarik dengan gaya bertutur dan latar belakang beliau sepanjang kami bertaaruf dalam apps Tilljannah. Selepas berterus terang, beliau dengan penuh bersedia dan rendah diri, memberikan pilihan kepada saya sama ada untuk meneruskan taaruf atau tidak.

Saya yakin, hal ini bukan kebetulan semata tetapi telah Allah aturkan. Dan berharap dia dan perjalanan ini adalah seperti yang saya minta dalam doa-doa saya.

Saya membuat keputusan untuk meneruskan taaruf dengan beliau. Setelah selesai fasa taaruf pertama dengan soalan-soalan yang paling penting, akhirnya kami bersetuju untuk ke next step. Alhamdulillah kedua-dua keluarga menyambut baik niat dan perancangan kami. Dan kami mengatur pertemuan fizikal kali pertama pada awal bulan 12.2023.

Pada pertemuan mata yang pertama, suami membawa kakaknya sebagai peneman dan saya ditemani sepupu saya. Kami bertemu di restoran dan kemudiannya mereka datang ziarah ke rumah saya di Johor, berjumpa dengan ibu bapa saya. Syukur, ibu bapa dan adik beradik yang telah saya maklumkan terlebih dahulu, sangat positif dengan beliau meskipun beliau ada kekurangan yang zahir.

-Ibu bapa pihak suami datang ziarah/merisik ringkas pada Jan 2024.
-Bertunang pada bulan Feb 2024.
-Nikah dan walimatul urus pada Mei 2024.
-Bertandang pada Jun 2024.

Perjalanan kami agak cepat berbanding rancangan awal dan semuanya sangat pantas, tiada kerenah mana-mana pihak, tiada bantahan dan semuanya dipermudahkan. Alhamdulillah thummal hamdulillah.

11.5.2024 #AmKiera
Hari itu, awan berarak megah, langitnya cerah, suasananya sangat ceria dan sibuk, penuh debaran dan kegembiraan.

Hari itu, kami merapatkan ukhuwah dengan seluruh keluarga dan rakan, jauh dan dekat, orang kampung yang sama gembira. Semuanya ikhlas mendoakan dan berkongsi kebahagiaan dengan lemparan seyuman dan pakaian yang kemas dan anggun. Ia adalah hari yang telah kami susun penuh sederhana namun cukup meriah.

Hari pernikahan itu, adalah hari terbinanya bahtera kehidupan kami yang baru, bermulanya ibadah kami yang paling panjang, yang dituntut Rasulullah SAW kepada ummatnya.
Allahuakbar.

Wahai Allah, peliharalah bahtera ini, kerana kami hanya hamba yang penuh kelemahan. Semoga rumahtangga kami, diiringi dengan bahagia, ketenangan dan keberkatan sampai akhir hayat kami.

Semoga Allah kurniakan syurga yang tertinggi buat ibu bapa kami dan buat semua yang mendoakan kami.

Semoga Allah kurniakan kebaikan dan syurga belaka, buat team tilljannah yang menjadi medium kami mendirikan masjid.
Amiin ya mujib.
TJ_Testimoni
TJ_Testimoni
TJ_Testimoni
TJ_Testimoni
Cari Jodoh Anda Sekarang
100% Money Back Guarantee
(tertakluk kepada terma & syarat)

Syarat penyertaan : Muslim Warganegara Malaysia berusia 20 tahun ke atas bagi lelaki, 18 tahun ke atas bagi wanita, status perkahwinan semasa hendaklah bujang, duda atau janda sahaja dan SERIUS dalam mencari jodoh.


👇🏼 Join telegram kami 👇🏼
t.me/TillJannahPortalJodoh