Mungkin ada di antara pembaca blog TillJannah pernah merasa atau sedang berada dalam situasi seperti ini. Anda dibelenggu dengan kekeliruan atau tidak pasti dengan perasaan yang dirasai. Contohnya seperti anda tidak tahu sama ada si dia adalah pilihan yang terbaik, tidak yakin adakah anda benar mencintai si dia atau hanya sekadar mempunyai perasaan sayang tidak lebih dari seorang kawan. Mungkin tidak semua manusia pernah hadapi situasi sebegini, tetapi bagi anda yang sedang menghadapinya, jangan risau kerana di sini akan kami berikan cadangan yang bernas untuk menyelesaikan kekeliruan tersebut.
- Solat istikharah
Solat istikharah ini tidak dikhususkan untuk mereka yang ingin memilih pasangan hidup sahaja, tetapi ia berguna untuk pelbagai keadaan dan salah satunya ialah situasi seperti kekeliruan dalam mencari jawapan.
Anda disarankan untuk memohon petunjuk daripada Allah meskipun ia dianggap sebagai urusan yang kecil. Mohonlah agar hati anda diberi bimbingan dan hala tuju ke arah yang sebetulnya. Namun perlu difahami juga yang petunjuk solat istikharah ini tidak semestinya hadir dalam bentuk mimpi sahaja. Ia boleh datang dengan pelbagai cara seperti mendapat ketenangan, dipermudahkan urusan dan lain-lain.
- Doa yang berterusan
Usaha dalam bentuk doa juga sangat penting. Doa itu ibarat perantaraan manusia bersama Tuhannya. Ada kalanya kita sudah puas berdoa namun masih rasa seperti doa kita tidak didengari, betul tak? Sebenarnya setiap doa itu sentiasa didengari oleh Allah, cuma jawapannya kadang kala tidak akan hadir seperti yang kita mahukan.
Jika anda inginkan jawapan, maka mohon pada Allah agar diberikan petunjuk yang terbaik dan diberikan kemudahan dalam membuat keputusan. Yang penting sekali, jangan pernah berputus asa dalam berdoa!
- Bertanya untuk kepastian
Mungkin ini adalah cadangan yang paling ‘direct’ sekali untuk mendapatkan kepastian tentang perasaan anda. Jika anda berani, boleh cuba berterus terang dengan si dia. Luahkan isi hati yang terbuku agar si dia mengerti kekeliruan yang sedang anda hadapi. Pepatah ada mengatakan yang “Malu bertanya, sesat jalan”. Oleh itu, ambil peluang dengan berbincang secara direct agar perkara yang tidak diingini dapat dielakkan pada masa yang akan datang.
- Menjaga batas pergaulan
Batas pergaulan antara yang bukan mahram harus dititikberatkan. Selagi masih tidak halal buat anda, maka jangan sesekali melebihi batas yang telah syariat tetapkan. Oleh itu, dalam berkawan juga harus berhati-hati. Jangan terlalu mudah memberi hati anda kepada lelaki atau wanita yang belum tentu menjadi pasangan hidup anda. Jika anda masih tidak pasti dengan perasaan sendiri, maka sebolehnya berkawan biasa sahaja. Kekalkan momentum sebegini sehinggalah anda sudah yakin dengan perhubungan yang dibina.
- Istisyarah
Istisyarah itu bermaksud bertanya pendapat orang lain. Anda digalakkan untuk bertanya dengan orang yang rapat seperti ibu bapa, adik-beradik, atau kawan baik. Ada sesetengah pihak yang segan ingin meluahkan dengan orang yang dikenali, maka dengan itu anda disarankan untuk berjumpa dengan orang yang berpengalaman seperti ustaz/ustazah atau kaunselor. InshaAllah dengan bantuan mereka yang pakar ini juga dapat meringankan beban yang dihadapi.
Akhir kata, didoakan agar anda yang sedang berada dalam situasi ini diberikan kelapangan dada dan kemudahan untuk mencari jawapan. Jangan berputus asa dan teruskan berusaha kerana setiap masalah itu pasti ada jalannya!