Hubungan bersama ahli keluarga, pasangan suami isteri, saudara-mara dan sahabat handai adalah amat penting untuk sentiasa dipelihara. Namun ada juga kes yang berlaku di mana seorang anak tidak dapat memaafkan ibu bapa mereka, atau seorang ibu yang meninggalkan anaknya tanpa khabar berita, atau mungkin juga seorang kawan yang memutuskan hubungan persahabatan disebabkan sesuatu konflik. Banyak penyebab kepada berlakunya situasi-siatuasi di atas. Namun perlu diingati bahawa hubungan silahturrahim harus dijaga agar tidak terputus. Seperti yang difirman Allah SWT dalam Surah Muhammad ayat 22 dan 23:
“Kalau kamu tidak mematuhi perintah maka tidakkah kamu harus dibimbang dan dikhuatirkan – jika kamu dapat memegang kuasa – kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturrahim dengan kaum kerabat?, (Orang-orang yang melakukan perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya”.
Ayat ini menerangkan bahawa manusia tidak sepatutnya memutuskan hubungan silahturrahim agar mereka takut dengan balasan daripada Allah SWT. Daripada sebuah hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim, Rasulullah SAW bersabda:
“Sesiapa ingin dilapangkan baginya rezekinya dan dipanjangkan untuknya umurnya, hendaknya dia menyambung silaturahim.”
Oleh itu, bagaimanakah cara untuk mengekalkan hubungan bersama orang-orang yang tersayang?
- Menjaga aib
Sentiasalah berkasih-sayang bersama orang yang tersayang. Ucapkan kata-kata yang baik kepada ibu bapa, adik beradik, kaum kerabat dan sahabat handai. Memelihara aib mereka dan tidak menyebarkannya kepada orang lain.
- Saling tolong-menolong
Jika anda melihat adik anda sedang menghadapi kesukaran, jadilah orang yang pertama untuk membantu mereka. Begitu juga dengan sahabat handai yang tinggal di dalam satu kediaman yang disewa bersama, harus saling tolong-menolong dalam mengerjakan kerja rumah. Jangan sesekali membiarkan orang yang kita kasihi itu berada dalam kesusahan tanpa diusahakan untuk membantunya.
- Solat berjemaah
Solat berjemaah ini bukan sahaja dikurniakan pahala yang berganda-ganda, malah dapat merapatkan ukhwah sesama insan. Mereka yang sering mengerjakan solat secara berjemaah, akan kekal bersama sehingga ke Syurga (dengan izin Allah SWT).
- Bersabar dengan karenah
Tiada manusia yang sempurna. Setiap orang itu dicipta dengan kekurangan diri. Oleh itu, kita harus memupuk sifat sabar, terutamanya bersama orang yang tersayang. Dalam pada masa yang sama, kita juga harus perbaiki kekurangan diri kita agar tidak menimbulkan apa-apa konflik di hari yang akan datang.
- Sering meluangkan masa bersama atau bertanya khabar
Meluangkan masa bersama itu amat penting untuk mengekalkan perhubungan yang baik. Pasangan suami isteri yang jarang meluangkan waktu bersama akan menimbulkan pelbagai isu di hari yang akan datang. Begitu juga dengan ahli keluarga dan sahabat handai. Mungkin tidak perlu keluar bersama pada setiap hujung minggu, cukup juga dengan bertanya khabar. Jangan sampai tidak bertegur sapa sehingga berbulan-bulan lamanya.
- Tidak berkira atau kedekut
Perkara ini amat penting! Jangan sesekali berkira atau kedekut bersama ahli keluarga anda. Mereka yang sering membelanjakan hartanya untuk orang yang dikasihi akan disayangi oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW.
- Terapkan sifat suka memohon maaf dan pemaaf
Adakalanya kita berasa tidak puas hati dengan seseorang yang rapat dengan kita. Adakalanya juga kita berasa serba salah kerana telah melukakan hati seseorang yang kita sayangi. Apa yang perlu dibuat ialah dengan menerapkan sifat gemar memohon maaf dan memaafkan. Sekiranya anda ada melakukan kesilapan, maka mohon maaf dengan segera. Begitu juga dengan memaafkan untuk mengelakkan konflik di hari yang akan datang. Jauhi daripada sifat dendam terutama sekali dengan perkara yang remeh-temeh.
Rujukan:
Muhammad Afiq. (2019). IRSYAD AL-FATWA SIRI KE-312: ANCAMAN KEPADA YANG MEMUTUSKAN TALI PERSAUDARAAN. https://muftiwp.gov.my/artikel/irsyad-fatwa/irsyad-fatwa-umum/3535-irsyad-al-fatwa-siri-ke-312-ancaman-kepada-yang-memutuskan-tali-persaudaraan