Dalam sesebuah perkahwinan, kedua-dua pasangan perlu memainkan peranan dalam menjayakan mahligai yang dibina. Suami mahupun isteri perlu fahami tanggungjawab serta tugas-tugas yang harus dilaksanakan bagi mengelakkan masalah yang akan datang.
Suami sebagai contohnya, perlu memberi nafkah, mendidik, melindungi dan memelihara isterinya. Manakala si isteri, wajib mentaati dan menghormati suaminya sebagai ketua keluarga. Namun, jika dilihat zaman sekarang, masih sahaja berlaku banyak perceraian antara suami isteri yang disebabkan oleh hal-hal tertentu. Walaupun ianya sudah menjadi ketentuan takdir, masih lagi ada panduan yang boleh anda semua rujuk bagi mengelakkan perceraian.
- Menjadi pendengar yang baik
Setiap orang mahu didengari luahan isi hatinya. Baik lelaki mahupun perempuan, kedua-duanya mempunyai luahan hati yang terbuku. Dalam rumahtangga, apa yang anda boleh lakukan ialah ada kan satu masa pada setiap hari untuk berbual bersama pasangan. Di sini anda akan dapat mendengar segala cerita tentang harinya seperti perasaan marah, sedih, gembira dan sebagainya.
- Saling membantu
Jika anda melihat isteri anda sedang sibuk memasak, mungkin anda boleh membantunya dengan menyediakan pinggan dan cawan di meja makan atau bantu mengemas dapur sesudah si dia memasak. Elakkan si dia berseorangan dalam mengurus rumah. Ambil inisiatif untuk bantu meringankan beban isteri. Dalam rumahtangga, perlu wujud kerjasama antara pasangan.
- Tidak berkira atau kedekut
Jangan terlalu berkira dengan pasangan anda sehingga si dia tidak dibenarkan untuk membeli atau membelanjakan apa-apa untuk keinginannya. Anda disarankan untuk membekalkan duit perbelanjaan persendirian untuk isteri secara bulanan. Sediakan wang saku yang boleh digunakan isteri untuk membeli barang keinginannya seperti alat solek, beg tangan, minyak wangi dan sebagainya. Apabila anda berbelanja untuk pasangan, nescaya rezeki akan dimurahkan dan ditambah lagi oleh Allah SWT. Sekiranya anda tidak mampu, maka berbincanglah secara baik dengan pasangan anda.
- Menjaga kebajikan pasangan
Sentiasa peka dengan kebajikan isteri anda. Pastikan pasangan anda dalam keadaan tubuh badan yang sihat serta kondisi mental yang stabil. Wanita sangat suka akan pasangan yang sentiasa bertanya akan keadaannya. Suami yang rajin mengambil berat akan membuatkan isterinya rasa disayangi dan dihargai.
- Banyak meluangkan masa bersama
Pasangan yang kurang meluangkan masa bersama akan mendatangkan masalah di kemudian hari. Jangan terlalu sibuk dengan kerja sehingga isteri di depan mata juga tidak dihiraukan! Cari sekurang-kurangnya satu hari untuk keluar berdua bagi meluangkan masa bersama. Banyakkan komunikasi antara satu sama lain dan InshaAllah mahligai yang dibina dapat dipanjangkan sehingga ke syurga Allah.