Apakah yang dimaksudkan dengan ‘wanita mahal’? Wanita mahal yang diertikan disini ialah mereka yang bijak mengurus dirinya sebaik mungkin dengan mengikuti segala ajaran Al-Qur’an dan Sunnah Nabi SAW serta meninggalkan larangan Tuhannya. Jika dilihat zaman ini, keruntuhan akhlak dikalangan wanita semakin berleluasa. Wanita dipamerkan sebagai bahan jenaka atau objek seksual di kaca televisyen sudah dianggap seperti perkara biasa. Perkara ini amat membimbangkan kerana wanita itu dicipta sangat berharga dan tidak sewajarnya diperlakukan sedemikian.
Oleh itu, sebagai seorang wanita, berikut ini adalah tanda-tanda atau langkah-langkah yang boleh diambil serta dirujuk untuk membentuk jati diri yang mahal lagi berharga!
- Menutup aurat dengan sempurna
Aurat itu bagaikan mahkota yang perlu dipelihara daripada tontonan lelaki ajnabi. Wanita yang menjaga auratnya dengan baik sudah pasti mendapat ganjaran pahala yang besar.
- Menjaga akhlak dan pertuturan
Wanita mahal itu tidak akan sesekali berkelakuan gedik atau manja dengan lelaki yang tidak halal baginya. Malah, wanita mahal itu akan sentiasa menjaga adab dengan bertutur perkara yang mulia, mempunyai rasa malu dan tidak mudah terpengaruh dengan budaya asing.
- Tidak melayan sembarangan lelaki
Harga diri seorang wanita itu sangat mahal sehingga tidak ternilai! Oleh itu, sebagai seorang wanita, jagalah peradabanmu. Seorang wanita yang berharga tidak akan sesekali melayan lelaki ajnabi dengan begitu mudah. Lihat sahaja para isteri-isteri Nabi Muhammad SAW yang amat menjaga adab mereka apabila berurusan dengan sahabat-sahabat baginda SAW. Sekiranya tiada urusan penting, elakkan bergaul atau berbual kosong dengan lelaki ajnabi.
- Tidak mudah memberi hati kepada yang bukan halal
Ingat! Lelaki yang benar sayangkan kamu tidak akan sesekali mengajak kamu ke lembah maksiat. Wanita yang bernilai itu akan memelihara dirinya hanya untuk yang halal baginya. Mereka tidak akan mudah jatuh hati dengan ayat ‘pick-up line’ atau ayat manis kaum lelaki. Walau ramai lelaki yang mengganggu, mereka tetap tidak akan melayan.
- Mempunyai pendirian yang tegas
Mengapakah wanita yang berpendirian tegas itu adalah wanita yang ditakuti ramai? Ini kerana apabila anda mempunyai akal yang tajam dan pendirian yang tetap, orang lain tidak akan mudah mempermainkan atau memperlekehkan anda. Oleh itu, sentiasalah tegas dengan pendirian yang betul. Wanita yang mahal itu tidak akan sesekali merendahkan maruah dirinya hanya untuk memenuhi kehendak seseorang lelaki yang bukan mahramnya.
Wahai wanita, mahalkanlah harga dirimu. Peliharalah diri seperti mana yang telah disuruh oleh Allah SWT dan Rasul-Nya. Jangan sesekali anda membiarkan lelaki mengambil kesempatan ke atas anda. Sebaik-baik wanita di muka bumi ini adalah mereka yang solehah. Wallahu A’lam.