Permulaannya semua bermula dengan indah belaka. Kalau boleh semua perkara hendak dikongsi sekali. Perasaan, makan, minum, bantal, pakaian dan segalanya dikongsi bersama.
Akan tetapi, semakin hari anda mula sedari bahawa hubungan yang dibina bertukar malap. Keindahaan dan kemanisan yang sering dikongsi bersama sudah semakin pudar. Jadinya anda pun mula tertanya-tanya apakah punca yang mencetuskan permasalahan ini.
Puncanya boleh datang dari faktor dalaman dan juga luaran. Perkara ini harus dibuat analisis secara keseluruhan supaya anda dapat mencari punca yang membuatkan hubungan anda dan pasangan semakin renggang. Sekiranya ia berpunca daripada faktor luaran seperti gangguan orang ketiga atau komitmen kerja terlalu tinggi, ia boleh diselesaikan dengan baik. Bagaimana pula dengan faktor dalaman? Faktor dalaman boleh datang dari sikap atau perangai pasangan itu sendiri. Contohnya seperti sifat pemalas, ego tinggi, kurang komunikasi, atau kurang kepercayaan. Penyelesaian kepada faktor ini dapat diusahakan dengan perubahan sikap seikhlasnya.
Bagi mengambil langkah pencegahan awal kepada keretakan sesuatu hubungan, mari kita teliti tanda-tanda yang menunjukkan hubungan yang dibina itu semakin malap.
- Kurang Berinteraksi
Tanda jelas yang dapat dilihat apabila sesuatu perhubungan itu semakin renggang ialah apabila kedua-dua pasangan kurang berinteraksi antara satu sama lain. Jika sebelum ini anda selalu berkongsi cerita atau perasaan, namun keadaan sekarang menunjukkan perbezaan yang ketara dimana anda dan pasangan tidak lagi berbuat demikian.
- Kurang Meluangkan Masa Bersama
Perkara ini amat penting bagi memastikan hubungan yang dijalin itu sentiasa kukuh. Pasangan yang jarang atau tidak meluangkan masa bersama akan menghadapi masalah oleh kerana ketiadaan masa untuk memahami pasangan sendiri. Jadi, bagi mengelakkan kerenggangan dalam perhubungan, anda harus selalu meluangkan masa bersama pasangan. Pastikan ada masa sedikit yang diluangkan untuk bersembang atau makan bersama-sama.
- Seringkali Bertengkar
Pertengkaran itu boleh terjadi di dalam mana-mana perhubungan sekalipun. Ada kalanya kita tidak sependapat dengan si dia maka pertengkaran pun berlaku. Namun, jika anda terlalu kerap bertengkar dengan pasangan, perkara ini boleh membawa masalah besar di dalam perhubungan. Jika anda dan pasangan selalu tidak sependapat, maka cubalah untuk teliti kembali kelemahan diri sendiri terlebih dahulu bagi mengelakkan pergaduhan yang tidak sepatutnya.
- Buat Hal Masing-Masing
Apabila kedua-dua pasangan mula sibuk dengan hal masing-masing, maka kerenggangan dalam perhubungan juga akan terasa. Si dia mula mengasingkan diri di bilik lain, anda pula sibuk dengan kerja di bilik sendiri, maka tidak hairanlah kemanisan dalam perhubungan yang dibina itu semakin hari semakin pudar. Kehidupan alam perkahwinan itu harus dikongsi bersama-sama. Jika anda dan pasangan sibuk dengan hal masing-masing, jadi apa gunanya anda berkahwin?
Sekiranya anda perhatikan tanda-tanda tersebut wujud dalam perhubungan anda bersama pasangan, maka segeralah perbaiki apa yang wajar yang diperbaiki. Cuba untuk menghidupkan kembali kemanisan dan aura positif dalam kehidupan rumahtangga anda.