Sepuluh malam terakhir Ramadan adalah saat yang paling istimewa dalam bulan yang mulia ini. Pada waktu inilah Rasulullah S.A.W. meningkatkan ibadah lebih daripada hari-hari lain. Sebagai umat Islam, kita juga digalakkan untuk memperbanyakkan amalan pada malam-malam ini kerana di dalamnya terdapat malam yang lebih baik daripada seribu bulan, iaitu Lailatul Qadar.

1. Bersungguh-sungguh dalam Ibadah

Diriwayatkan daripada Ummul Mukminin A’isyah R.anha beliau berkata:

“Adalah Rasulullah S.A.W itu bersungguh-sungguh (dalam beribadah) pada sepuluh yang terakhir (dari bulan Ramadhan) melebihi ibadah baginda pada hari-hari yang lain.”

Riwayat Muslim (1175)

2. Menghidupkan Malam dengan Solat dan Zikir

Menghidupkan malam bukan sekadar berjaga tetapi diisi dengan ibadah yang mendekatkan diri kepada Allah. Ini termasuk solat tahajud, beristighfar, membaca al-Quran dan berzikir.

3. Membangunkan Ahli Keluarga untuk Beribadah

Ketika masuknya sepuluh malam terakhir bulan Ramadhan, Rasulullah S.A.W mengejutkan isteri-isteri dan keluarga untuk bangun beribadah. Bahkan ada riwayat yang menunjukkan bahawa Baginda mengetuk pintu Fathimah R.anha dan Ali bin Abi Thalib R.anhu lalu berkata :

“Apakah kamu berdua tidak bangun lalu menunaikan solat ?”

Riwayat al-Bukhari (1127)

4. Memperbanyakkan Berdoa

Daripada A’isyah R.anha, bahawa beliau bertanya kepada Rasulullah S.A.W : “Wahai Nabi Allah, jika aku bertemu dengan malam al-Qadar maka apa yang sepatutnya aku ucapkan. Baginda bersabda:

اللهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ، فَاعْفُ عَنِّي

Maksudnya: “Ya Allah Ya Tuhan Kami, sesungguhnya Kamu Maha Pengampun dan amat suka akan keampunan, maka berikanlah keampunan kepadaku”.

Imam al-Nawawi berkata bahawa ashab kami (ulama’ Syafieyyah) mengatakan disunatkan memperbanyakkan membaca doa ini pada malam al-Qadar. Begitu juga, disunatkan membaca al-Quran, zikir-zikir dan doa-doa yang disunatkan pada tempat-tempat yang mulia.

5. Beriktikaf di Masjid

Iktikaf adalah salah satu amalan yang sangat dianjurkan pada 10 malam terakhir Ramadan. Jika tidak dapat beriktikaf sepenuhnya, kita boleh memperuntukkan beberapa jam di masjid untuk beribadah dengan tenang.

Kesimpulan

10 malam terakhir Ramadan adalah peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan. Setiap amalan yang dilakukan dengan ikhlas akan membawa ganjaran yang besar di sisi Allah.

Jadikan malam-malam ini sebagai waktu untuk memperbanyakkan ibadah, berdoa dan memohon keampunan agar kita termasuk dalam golongan yang mendapat rahmat-Nya.

🌙 Jom rebut peluang keemasan ini sebelum Ramadan melabuhkan tirainya! 🌙