Mungkin ada yang di antara pembaca kami terfikir “Seronok ke kahwin ni?” atau “Susah ke kahwin ni?”. Jawapannya akan berbeza mengikut pengalaman orang-orang yang sudah atau pernah berkahwin. Akan ada yang menyatakan kehidupan berkahwin ini sungguh indah dan mungkin ada yang menyatakan kehidupan sebelum berkahwin itu lebih seronok. Jawapannya akan bergantung kepada orang yang disoal oleh kerana topiknya yang bersifat subjektif.
Tetapi fokus kami pada hari ini ialah untuk menceritakan kepada anda tentang manfaat-manfaat yang akan anda dapat dalam perkahwinan!
- Teman berdamping
Apabila anda berkahwin, anda akan mempunyai seorang teman berdamping di saat gembira dan duka! Anda boleh bercerita dan berkongsi tentang apa-apa sahaja tak kira masa dan waktu. Si dia akan ada menemani anda di saat susah dan senang.
- Pendengar luahan hati
Antara perkara yang paling seronok apabila sudah berkahwin ialah anda akan mempunyai pendengar yang setia. Anda boleh mengadu tentang hari anda dan si dia akan setia sahaja mendengar. Jika pasangan anda sejenis yang pendiam, anda lah yang harus menceriakan rumahtangga tersebut dengan cerita-cerita atau celoteh yang boleh mencuit hati pasangan.
- Ganjaran pahala yang mudah
Tahukah anda bahawa perkahwinan ini merupakan salah satu ibadah yang mudah untuk mendapatkan pahala! Anda senyum manis ke suami mahupun isteri dan membuat pasangan anda gembira pun sudah mendapat ganjaran pahala. Selagi rumahtangga yang dibina itu atas dasar cinta kepada Allah SWT dan Rasulullah SAW, inshaAllah alam perkahwinan anda akan diberkati dan berkekalan sehingga ke syurga.
- Senang masuk syurga
Betul ke kalau berkahwin ini mudah masuk syurga? Jawapannya ya! Perkahwinan merupakan satu tiket mudah untuk ke syurga jika mahligai yang dibina berdasarkan syariat Islam. Ganjaran besar akan diberikan buat pasangan yang saling mengingatkan antara satu sama lain tentang suruhan Allah SWT, mendirikan solat berjemaah, berkasih sayang kerana Allah dan banyak lagi.
- Mendapat pahala Sunnah
Berkahwin itu merupakan Sunnah Nabi Muhammad SAW yang amat digalakkan sekiranya anda berkemampuan. Bukan sahaja anda mengikuti ajaran Rasulullah SAW malah anda mendapat pahala kerana berbuat demikian. Perkahwinan merupakan salah satu cara untuk mengelakkan diri daripada perkara maksiat dan zina. Jika anda sudah berkemampuan dari segi semua aspek, maka sebaiknya disegerakan.