Pernahkah anda mendengar kata-kata seperti, “Rezeki itu tidak akan pernah salah alamat”? Sesungguhnya memang benar! Sekiranya sesuatu itu sudah tertulis untuk anda, maka ia tidak akan pergi ke orang lain walau macam mana sekali pun. Itulah yang dinamakan rezeki, salah satu contoh takdir yang telah ditetapkan untuk setiap hamba Allah SWT.
Namun begitu, tahukah anda bahawa rezeki ini sebenarnya boleh diperluaskan lagi dengan menggunakan pelbagai cara dan usaha. Antaranya termasuklah…
- Memperbanyakkan bersedekah
Sesungguhnya ganjaran bersedekah itu sangat besar! Selain daripada mendapat pahala yang banyak dan penghapusan dosa-dosa, bersedekah juga dapat membuka pintu rezeki seseorang itu. Sabda Nabi Muhammad SAW bahawa:
“Tidak akan berkurang rezeki orang yang bersedekah, kecuali bertambah, bertambah dan bertambah.”
- Melazimi solat sunat
Solat sunat mengandungi banyak pahala dan kebaikan yang tidak ramai ketahui. Sekiranya anda sedang runsing untuk memilih antara dua pilihan, maka anda digalakkan untuk melakukan solat istikharah. Bagaimana pula dengan hajat untuk meluaskan serta menambah rezeki? Solat dhuha jawapannya! Sesungguhnya kehebatan solat dhuha tidak dapat disangkal lagi. Anda boleh mengamalkan bacaan doa selepas solat dhuha untuk memohon rezeki yang banyak. Selain daripada solat dhuha, solat sunat hajat dan taubat juga amat digalakkan untuk membuka pintu rezeki.
- Berbuat baik kepada ibu bapa
Mereka yang sentiasa menjaga kebajikan orang tuanya, tidak akan pernah susah hidupnya. Anak yang sentiasa mengutamakan kebajikan ibu bapanya akan sentiasa dipermudahkan urusan dan dilimpahi rahmat Tuhan. Maka layanlah orang tua anda dengan baik dan penuh kasih sayang agar hidup dunia akhirat itu lebih diberkati dan dirahmati Allah.
- Memperbanyakkan selawat dan istighfar
Selawat ke atas Nabi SAW bukan sahaja dapat membantu umat Islam di akhirat kelak, malah akan memudahkan urusan rezeki di dunia. Perbanyakkan bacaan selawat pada waktu pagi dan petang serta istighfar yang dapat menghapuskan dosa-dosa. Dengan penghapusan dosa ini, inshaAllah rezeki itu lebih mudah untuk datang kepada anda!
- Menjauhi maksiat
Menjauhi perkara yang dilarangi-Nya juga dapat memurahkan rezeki seseorang. Ini kerana apabila hati kita bersih dan bebas dari perkara-perkara maksiat maka doa-doa kita juga akan lebih senang termakbul.