- Menjadi pemimpin dan ketua keluarga
Seorang suami wajib membimbing isteri dan anak-anaknya dalam apa jua urusan berkenaan rumah tangga dan kekeluargaan. Anda akan menjadi ketua keluarga yang bertanggungjawab ke atas makan, minum, pakaian serta tempat tinggal isteri dan bakal anak-anak.
- Mengajarkan ilmu agama kepada isteri dan anak-anak
Kewajipan mendidik ilmu agama kepada isteri dan anak-anak adalah amat penting. Sebagai suami, anda akan menjadi imam yang mengetuai keluarga. Seorang suami wajib mengajar isteri dan anak-anaknya untuk mendirikan solat, menutup aurat, menjaga akhlak, meninggalkan kemungkaran dan banyak lagi.
- Menjaga dan memelihara isteri
Seperti mana Nabi Muhammad SAW pernah bersabda, “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya di antara mereka. Dan sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap isterinya.” (Riwayat Imam Ahmad). Seorang suami wajib memelihara dan melindungi isterinya seperti mana dapat dilihat oleh kasih sayang yang ditunjuk oleh Nabi SAW terhadap isteri-isteri baginda.
- Memberi nafkah
Memberi nafkah zahir dan batin juga merupakan perkara penting dalam undang-undang Islam. Seorang isteri mempunyai hak ke atas nafkah dan sekiranya ia tidak dilunaskan, mereka dibenarkan untuk menuntutnya di Mahkamah Syariah. Nafkah merupakan tanggungjawab suami dan wajib ditunaikan. Sekiranya gagal, perkara ini akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak.
- Berbakti kepada ibu bapa
Setelah berkahwin, tanggungjawab seorang anak lelaki ke atas orang tuanya masih tidak terputus. Anak lelaki wajib berbakti kepada ibu bapanya walau telah berpisah tempat tinggal dan bertukar status. Disini seorang isteri harus sentiasa mengingatkan sang suami untuk tidak melupakan juga tanggungjawab mereka ke atas ibu bapa seperti menziarahi, memberi wang bulanan, menjaga kebajikan dan sebagainya.
- Terus memperbaiki diri
Tiada manusia yang sempurna dalam dunia ini, sebab itu kita perlu terus berusaha untuk memperbaiki diri ke arah yang lebih baik. Jika sebelum ini anda seorang yang suka berbuat sepah, maka perbaikilah sikap tersebut. Anda boleh mula merajinkan diri untuk mengemas kawasan rumah, membersihkan dapur atau membasuh tandas. Perkara ini sedikit sebanyak dapat menggembirakan hati isteri anda!
Dalam menjayakan masjid yang dibina ini, banyak tanggungjawab dan kewajipan seorang suami perlu tunaikan. Suami harus fahami bahawa kehidupan berkahwin itu tidak lagi sama seperti waktu bujang. Jika pada zaman bujang anda sering keluar melepak sehingga lewat malam, maka selepas berkahwin anda tidak boleh lagi berbuat demikian. Anda mempunyai isteri dan anak-anak di rumah yang harus difikirkan. Keselamatan dan keselesaan mereka harus diutamakan, jika tidak, perkara tersebut akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah SWT pada hari Akhirat kelak. Akhir kata, didoakan agar semua pembaca lelaki blog TillJannah ini dapat menjadi seorang suami dan anak yang soleh.