Melihat peredaran zaman kini, terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada permasalahan dalam sesuatu perhubungan. Ianya boleh disebabkan dari faktor luaran dan juga dalaman.
Jika diperhatikan statistik kes penceraian, banyak isu penceraian terjadi akibat tiada persefahaman antara pasangan disamping dengan faktor-faktor lain seperti masalah kewangan, pengabaian tanggungjawab dan sebagainya. Meskipun ramai menganggap ianya sebagai ketentuan takdir, jangan disalahkan takdir sekiranya kita tidak cuba berusaha terlebih dahulu. Oleh itu, mari kita teliti beberapa faktor ini yang boleh menggugat perhubungan antara pasangan.
- Ego yang tinggi
Sifat ego yang tinggi ini sudah pasti akan membawa kepada permasalahan dalam sesuatu perhubungan. Antaranya seperti tidak mahu mengalah, sentiasa menganggap dirinya betul, tidak boleh ditegur, dan banyak lagi. Isu ini dapat dielakkan sekiranya sifat bekerjasama dan bertolak ansur antara pasangan dipupuk dari awal perhubungan.
- Tiada toleransi
Toleransi adalah salah satu sifat yang perlu dititik beratkan. Ianya penting dalam menilai pasangan kita, menerima kekurangan suami atau isteri dan bagi menyelesaikan apa-apa perselisihan faham yang berlaku. Jika kedua-dua pasangan tidak mampu untuk bertolak ansur, maka jaminan untuk perhubungan itu bertahan lama amat tipis.
- Terlalu berkira
Antara sifat buruk yang membawa kepada keruntuhan sesebuah perhubungan ialah terlalu berkira. Dalam rumahtangga perlunya wujud perancangan yang teliti mengenai pengurusan dan perbelanjaan rumah. Pastikan pembahagian tugas diatur dengan baik bagi mengelakkan pergaduhan. Namun sekiranya pasangan sedang menghadapi kesulitan seperti isteri dalam pantang atau suami baru kemalangan, anda boleh mengambil tugas pasangan atas rasa ikhsan. Jangan terlalu berkira kerana perkahwinan itu juga merupakan perkongsian hidup yang perlu diurus bersama.
- Kurang komunikasi
Dalam menyelesaikan apa-apa masalah, komunikasi antara pasangan itu amat penting. Sekiranya anda tidak berpuas hati dengan sesuatu perkara, jangan dipendam lama dalam hati. Beritahu pasangan anda tentang perasaan anda itu agar ianya dapat diselesaikan. Jika dipendam, masalah akan bertambah serius apabila hati sudah tidak mampu lagi menampung kemarahan dan kesedihan tersebut. Banyakkan berkomunikasi bersama pasangan tidak mengira mengenai apa-apa isu sekalipun agar keharmonian rumahtangga dapat dipelihara.
- Suka mengungkit
Pasangan yang suka mengungkit perkara lalu adalah pasangan yang bermasalah. Sebagai seorang suami atau isteri, anda tidak sepatutnya mengungkit apa-apa isu yang telah berlaku pada masa lalu. Sekiranya anda dapati pasangan pernah melakukan perkara buruk pada zaman lalu, jangan diungkit perkara tersebut. Belajar untuk memaafkan dan menerima segala kekurangan yang ada pada pasangan kita.
- Kurang meluangkan masa bersama
Bagi menjamin keharmonian sesuatu perhubungan, pasangan perlu selalu meluangkan masa sekali. Jika kedua-dua pasangan terlalu sibuk dengan komitmen kerja, carilah masa yang sesuai untuk keluar bercuti bersama. Sekiranya kurang meluangkan masa bersama, perkara ini akan menyebabkan hubungan semakin renggang, bosan dan kusam.