Ada pasangan yang telah menyulam cinta bertahun-tahun lamanya, akhirnya masing-masing berkahwin dengan orang lain. Ada juga yang baru sahaja berkenalan selama empat bulan, akhirnya berkahwin dan kekal bahagia sehingga berpuluh tahun. Dan ada pula yang tiba-tiba hubungannya senyap separuh jalan, kemudian ditemukan semula oleh Allah SWT. Itulah sedikit sebanyak mengenai jodoh, sesuatu yang tidak dapat kita jangka. Satu rahsia yang sangat indah yang telah ditulis oleh Allah SWT di Luh Mahfuz sebelum wujudnya kita di dunia ini. Jadi bagi mereka yang masih belum bertemu jodoh, apa yang boleh dilakukan sementara menunggu jodoh tiba?
- Perbaiki Diri Dari Semua Aspek
Untuk menjadi seseorang yang sempurna itu sudah tentu tidak mungkin terjadi. Apa yang kita boleh lakukan ialah dengan terus memperbaiki diri kita untuk menjadi lebih baik hari demi hari. Sementara kita belum berkahwin, baik ambil peluang ini untuk membetulkan solat kita, memperbaiki akhlak, memperbanyakkan ibadah, mengurangkan membuang masa, menjauhi maksiat, dan banyak lagi.
- Berusaha Selagi Mampu
Selagi anda masih muda dan berdaya, jangan sesekali membuang masa dengan perkara yang tidak berfaedah. Jika jodoh anda masih belum tiba, jangan risau, teruskan berusaha dengan mencari rezeki dan gunakan tenaga anda untuk perkara yang bermanfaat. Anda berpeluang untuk menjadi muda hanya sementara, kelak anda akan kekal dalam usia tua yang berpanjangan! Gunakan usia muda ini untuk mencari pengalaman hidup, mendalami pelbagai ilmu, berkawan dengan orang-orang yang maju ke hadapan dan sebagainya.
- Capai Cita-Cita atau Impian yang Dimilliki
Jika jodoh anda masih lagi tak nampak bayang, gunakan masa ini untuk mencapai cita-cita atau impian anda. Sekiranya anda mempunyai keinginan untuk melancong ke benua Eropah bersama rakan-rakan, mendaki gunung tertinggi di dunia, menerbit sebuah buku, membawa ibu bapa anda menunaikan haji atau umrah, atau apa-apa sahaja impian yang terbuku di hati, lebih baik ditunaikan selagi anda masih tidak mempunyai apa-apa komitmen atau tanggungjawab perkahwinan. Mungkin Allah melambatkan jodoh anda untuk memberikan anda peluang membahagiakan ibu bapa terlebih dahulu. Pasti ada hikmah yang tersembunyi!
- Asah Bakat yang Terpendam
Mungkin ada diantara anda tidak perasan akan bakat yang terpendam dalam diri. Jadi apa yang anda boleh buat sekarang ialah teroka diri anda! Cuba kenali diri anda dengan lebih mendalam dengan memerhatikan minat atau hobi yang sering anda lakukan. Contohnya, anda minat menulis. Mungkin dengan masa yang ada ini, anda boleh biasakan dengan menulis apa-apa sahaja genre tulisan yang anda gemari. Jadikan ini kesempatan untuk anda majukan diri ke arah yang lebih bagus!
- Luang Masa Bersama Keluarga
Banyak yang diantara anda tidak perasan bahawa masa sebelum berkahwin ini lah peluang untuk anda meluangkan masa bersama keluarga. Jangan terburu-buru ingin berkahwin sehingga keluarga yang ada di depan mata tidak dihiraukan. Ambil lah peluang ini untuk anda bahagiakan ibu bapa, bantu adik-beradik yang susah, pergi bercuti bersama ahli keluarga dan banyak lagi. Hidup ini terlalu singkat untuk kita risaukan perkara yang remeh-temeh. Jodoh itu sudah tertulis untuk kita semua, yang penting kita harus terus berdoa dan berusaha manakala selebihnya diserahkan kepada Allah.
- Berseronok dengan Kawan-Kawan
Jika anda merasa bosan dengan hidup single, anda boleh cuba mencari sekumpulan kawan yang “sekepala” untuk berseronok. Cari kawan-kawan yang mempunyai minat atau hobi yang sama dimana anda semua boleh lakukan aktiviti yang digemari bersama-sama. Jauhi kawan-kawan yang tidak mendatangkan faedah seperti mereka yang suka melepak, merokok, bergossip dan sebagainya.
- Jaga Kesihatan Mental dan Fizikal
Jangan sesekali membuang masa anda memikirkan perkara yang tidak penting. Selagi anda berdaya, gunakan masa terluang dengan menjaga kesihatan seperti bersenam, bersukan dan menjaga pemakanan. Mungkin ini adalah waktu yang terbaik untuk anda menurunkan berat badan bagi mereka yang berisi atau menjaga penampilan bagi mereka yang tidak begitu terurus. Gunakan masa yang ada untuk membahagiakan diri sendiri sebelum kita bahagiakan orang lain.
Konklusinya disini, jangan bersedih sekiranya jodoh anda masih belum tiba. Allah SWT telah menjanjikan setiap manusia itu dicipta berpasangan dan janji-Nya itu pasti! Sibukkan diri anda dengan perkara yang mendatangkan manfaat untuk masa depan yang lebih cerah, inshaAllah.