Sebelum berkahwin, pastinya alam percintaan itu diselubungi dengan kemanisan. Barangkali semuanya kelihatan indah-indah belaka. Selepas berkahwin, barulah nampak segala jenis perkara “baru” tentang pasangan anda.
Mula sahaja alam rumahtangga, disinilah kita perlu belajar untuk menerima segala kekurangan pasangan kita itu. Sesungguhnya tiada manusia yang sempurna, sama juga dengan pasangan kita. Kita tidak boleh mengharapkan si dia untuk tidak langsung melakukan kesilapan. Meskipun benar kata-kata orang tua dahulu bahawa ‘kita tidak akan mengenali seseorang itu sehingga kita kahwini dan tinggal sebumbung bersama mereka’, tetapi perkara ini tidak sepatutnya kita jadikan sebagai alasan takut akan perkahwinan. Jadi apakah cara untuk mengenal pasti si dia itu merupakan jodoh yang serasi dengan kita?
Disini akan saya sertakan beberapa nasihat-nasihat daripada Ustazah Siti Nor Bahyah yang boleh dijadikan rujukan untuk memastikan bahawa jodoh itu serasi dengan kita.
- Merasa bahagia dan tenang
Menurut ustazah Bahyah, pasangan yang serasi dengan kita itu membuatkan kita lebih tenang dan bahagia apabila bersama dengannya. Si dia akan membuat kita rasa sayang selalu.
- Boleh bertolak ansur
Jodoh yang serasi juga akan mudah untuk bertolak ansur dengan kita. Si dia boleh menerima kekurangan kita dengan bertoleransi untuk mengelakkan pertengkaran yang remeh-temeh. Walaupun berbeza sikap, pasangan yang sesuai itu akan lebih menerima kita seadanya. Sebagai contoh, kita seorang yang suka mengemas, tetapi pasangan kita itu seorang yang suka berbuat sepah. Maka apa yang dapat kita lihat disini ialah Allah telah menjodohkan kita untuk saling melengkapi antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, sifat atau perangai yang buruk itu harus diubah dan tidak dijadikan alasan untuk menutup kesilapan diri kita.
- Rasa selamat
Jika kita ada dengannya, kita rasa dilindungi maka pasangan kita itu serasi untuk hidup bersama. Tetapi sekiranya anda sering rasa tidak selamat ataupun takut, maka perlulah anda lakukan penilaian semula mengenai hubungan tersebut.
- Membuatkan kita lebih dekat dengan Allah
Pasangan yang baik itu sudah tentu akan membawa kita lebih dekat di jalan Allah. Jika si dia sering menasihati anda dengan kata-kata yang baik dan ikhlas atau mengajak anda untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kemungkaran, sudah pasti pasangan anda itu seorang yang bagus. Sekiranya anda mula melakukan solat sunat, bangun tahajjud, pergi berjemaah di masjid, atau tutup aurat dengan sempurna selepas berkahwin dengannya, itu merupakan petanda bahawa si dia memang jodoh yang serasi.
- Selalu ada disisi saat susah dan senang
Disaat kita sakit, stres, sedih, susah dan gembira, si dia sentiasa ada menemani kita. Itulah yang dinamakan jodoh serasi, sanggup bersama dengan kita saat susah mahupun senang. Si dia rela berkorban dan bersama kita walau dalam apa jua keadaan.
Sumber: Tanyalah Ustazah