Kehidupan selepas berkahwin adalah sesuatu yang tidak dapat dijangka oleh sesiapa. Pasti anda juga biasa mendengar orang kata kehidupan selepas berkahwin itu tidak seindah seperti masa bercinta. Memang benar, kehidupan setelah berkahwin tidak sama sewaktu anda bercinta dengan pasangan! Selepas sahaja pengantin lelaki melafazkan akad nikah maka bermulalah tanggungjawab dia sebagai seorang suami dan tanggungjawab pengantin perempuan sebagai seorang isteri. Disinilah yang merupakan titik tolak kehidupan alam perkahwinan dimana si isteri wajib mentaati suaminya manakala si suami wajib menunaikan nafkah zahir dan batin terhadap isteri.
Banyak kes perceraian jika kita teliti zaman ini berpunca daripada tiada persefahaman, masalah kewangan dan kecurangan. Bak kata orang tua-tua, pentingnya setiap pasangan pelajari ilmu rumahtangga. Kebanyakkan anak muda kini lebih cenderung untuk berkahwin atas dasar nafsu dan akhirnya menjurus kepada penceraian kerana tidak fahami tanggungjawab serta komitmen alam perkahwinan.
Jadi apa yang boleh anda lakukan sebagai persediaan untuk tempuhi cabaran alam perkahwinan?
Pertama sekali, seperti yang telah disebut sebentar tadi, pentingnya kita fahami tanggungjawab yang dipikul sebagai seorang suami dan isteri. Tidak usah diulas apa yang perlu si suami atau si isteri lakukan, tetapi cukuplah dengan sedari bahawa setiap tanggungjawab yang dipikul akan diikuti dengan komitmen. Jika anda bekerja di syarikat X sebagai seorang pengurus, sudah pasti anda tahu bahawa pengendalian sistematik orang bawahan itu amat penting bagi memastikan kerja bergerak. Begitu juga dengan kehidupan rumahtangga. Seorang suami harus tahu tanggungjawab dia sebagai ketua keluarga ialah menjaga kebajikan isteri dan anak-anak, memelihara maruah isteri, mendidik dan membimbang ahli keluarganya, dan sebagainya. Sama seperti sang isteri yang wajib mentaati suaminya, menjaga maruah diri dan suaminya, mendidik anak-anak, dan banyak lagi. Jadi diharapkan dengan kefahaman yang menyeluruh mengenai tanggungjawab suami dan isteri, cabaran kehidupan alam rumahtangga dapat diurus dengan lebih baik.
Keduanya, jika kita lihat orang-orang tua zaman dahulu, perkahwinan mereka lebih bertahan berbanding anak muda zaman sekarang. Menurut sebuah artikel yang diterbit oleh Astro Awani pada hujung tahun 2019:
“Mahkamah Syariah Negeri Selangor merekodkan pasangan yang bercerai ini bukan sahaja terdiri daripada pasangan yang berusia malahan juga pasangan muda yang kurang dari tempoh lima tahun berkahwin.”
Apakah punca yang menyumbang kepada perkara ini? Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menyatakan bahawa punca utama yang membawa kepada isu ini ialah masalah kewangan. Antara langkah bijak yang anda boleh lakukan ialah dengan mengatur kewangan anda bermula dari zaman bujang. Biasakan diri anda dengan mengawal perbelanjaan mengikut keperluan dan kehendak, dan seterusnya menyimpan wang untuk kegunaan kecemasan. Sekiranya anda sudah terbiasa dengan pengurusan kewangan diri, perkara ini sudah pasti akan membantu anda apabila memasuki alam perkahwinan. Cuma perbezaan penting apabila sudah berkahwin ini ialah duit yang ada harus dikongsi bersama pasangan dan anak-anak. Jangan terlalu berkira dalam perbelanjaan sehinggakan kebajikan pasangan dan anak-anak tidak terjaga. Aturlah kewangan anda bersama isteri atau suami dengan bijak dan efisien kerana kewangan yang stabil tu amat penting demi keharmonian dan keselesaan kehidupan berumahtangga.
Seterusnya, ‘Tiada Persefahaman’ juga merupakan salah satu penyumbang kepada isu penceraian yang semakin meningkat di Malaysia. Kebanyakkan pasangan yang telah bercerai menyatakan bahawa punca penceraian mereka adalah kerana ego diri dan pasangan yang terlalu tinggi sehinggakan tiada toleransi dan permuafakatan dapat dicapai. Perlu diketahui setiap manusia itu sememangnya mempunyai ego di dalam diri mereka. Yang membezakan kita hanya tahap ketinggian ego tersebut dan juga kebolehan kita untuk bertoleransi dalam mencapai kata putus. Jika anda seorang yang berpendirian keras atau bahasa kasarnya ‘ego tinggi’, anda boleh cuba belajar untuk merendahkan ego sebelum berkahwin. Jika anda sayangkan pasangan dan ingin menjaga keharmonian rumahtangga anda, maka pupuklah sifat toleransi di dalam diri. Belajar untuk menerima kekurangan seseorang itu dan cuba juga untuk perbaiki kekurangan diri sendiri. Jangan biarkan ego kaburi pandangan anda daripada melihat kebaikan pasangan yang tersedia ada.
Kesimpulannya, kehidupan alam perkahwinan itu bukanlah sesuatu yang boleh diambil mudah. Perkahwinan itu memerlukan komitmen tinggi yang diikuti dengan tanggungjawab. Tetapi jangan pula anda letakkan komitmen yang tinggi ini sebagai penghalang untuk anda berkahwin. Tujuan artikel ini ditulis adalah untuk mengingatkan semua pasangan yang bakal berkahwin agar bersedia dengan cabaran yang bakal dihadapi. Tiada satu pun pasangan telah berkahwin yang tiada masalah dalam rumahtangga mereka. Masalah dan ujian itu pasti ada, yang membantu mereka untuk hadapi situasi ini ialah dengan kefahaman ilmu rumahtangga, kebijaksanaan dalam mengurus kewangan dan kebolehan untuk bertoleransi.