Lelaki mana yang tidak gementar sebelum bertemu bakal mak dan bapa mertua. Rata-rata lelaki akan mengalami kegemuruhan di dalam hatinya namun tidak dipamerkan secara terang-terangan di wajah. Maklumlah, untuk menjaga macho katanya.
Pasti ramai juga lelaki di luar sana tertanya-tanya apakah kriteria yang akan dilihat oleh bakal mertua, oleh itu, jom kita baca beberapa nota penting untuk kita ketahui sebelum berjumpa dengan ibu bapa bakal isteri.
- Beradab
Nota pertama yang perlu anda fokuskan ialah menjaga adab apabila bertemu dengan bakal mertua. Pastikan sebelum anda masuk ke dalam rumah bakal isteri, berikan salam dan bertanya khabar mereka. Jangan terus masuk melulu dan duduk di ruang tamu tanpa dijemput. Ini kerana dari awal anda sampai lagi bakal mertua sudah mula memerhatikan anda. Pastikan anda duduk, makan dan minum, dengan keizinan tuan rumah. Barulah sejuk hati mereka melihat anda beradab dan sopan santun.
- Beragama
Ibu bapa mana yang tidak mahu bakal suami anak mereka seorang yang baik dan beragama? Jadi, untuk memikat hati bakal mertua, anda boleh cuba perbaiki pegangan agama dari segi ibadah terutamanya. Ini kerana anda bakal membimbing seorang wanita yang akan menjadi pasangan hidup anda selamanya, oleh itu, pentingnya seseorang bakal suami itu mempunyai didikan dan fahaman agama yang kukuh untuk mencorak bakal isteri tersebut. Apa yang anda boleh buat untuk memikat hati bakal mak dan bapa mertua anda ialah dengan menawarkan diri untuk menjadi imam sewaktu solat jemaah bersama keluarga mereka. Barulah mereka wow melihat anda!
- Berkerjaya
Mempunyai pekerjaan yang stabil adalah perkara asas sebelum mendirikan rumahtangga. Pastikan anda sudah bekerja tetap atau sekurang-kurangnya mempunyai pendapatan tetap setiap bulan untuk menampung bakal isteri. Anda perlu bersedia sekiranya bakal mertua bertanya mengenai pekerjaan anda. Tidak perlu risau, jujur sahaja tentang kerjaya anda tetapi untuk menarik minat mereka, anda boleh cuba menceritakan tentang skop kerja, sumbangan dalam syarikat pekerjaan dan banyak lagi. Tetapi jangan terlalu mengangkat diri anda, cukuplah dengan bersederhana.
- Penampilan Kemas
Berpakaian kemas dan bersih, rambut terurus, kuku pendek dan bau yang menyenangkan adalah amat penting diambil kira sebelum bertemu bakal mak dan bapa mertua. First impression itu sangat penting untuk menarik minat seseorang. Jangan pula anda datang dengan baju tidak bergosok, kuku panjang atau badan berbau. Memang minta untuk di-reject lah kalau macam tu.
- Bijak Menyesuaikan Diri
Orang tua amat sukakan anak muda yang boleh diajak berbual atau berbincang. Apa yang anda boleh buat ialah dengan tidak menunjukkan sifat kekok apabila berhadapan bakal ibu bapa mertua. Boleh cuba mulakan perbualan mengenai apa-apa isu latest yang menarik. Dari sini mereka akan dapat melihat cara pemikiran dan tahap kematangan anda dalam membincangkan sesuatu perkara. Pastikan anda peka dengan isu-isu terbaru untuk menunjukkan anda adalah seorang yang mengambil berat tentang keadaan sekeliling anda.
Tidak perlu risau, anda hanya perlu menjadi diri sendiri sahaja. Tetapi pada waktu yang sama cuba untuk perbaiki kekurangan anda bagi menjadi seseorang yang lebih baik. Jangan lupa nasihat-nasihat di atas ini sebelum berjumpa dengan bakal mertua anda ya. Semoga berjaya!