27 Jun
jodoh (1)

Aku Belum Bertemu Jodoh Kerana…

Setiap manusia pasti mengimpikan hidup bahagia bersama pasangannya. Membesarkan anak-anak berdua, menjalani kehidupan menuju tua, dan berharap hanya ajal yang dapat memisahkan mereka di dunia ini.

.

Mendapatkan jodoh tidaklah semudah ceritera cinta dalam novel, drama mahupun filem. Ada fasa dimana kita terpaksa menunggu hingga kita sendiri menjadi bosan. Pertanyaan ‘’Bila mahu kahwin?’’,   “Bila nak makan nasi minyak ni?”,dan ”Kau bila lagi? Jangan jadi bujang terlajak sudah” menjadi momokan yang paling menakutkan di saat bertemu dengan orang lain.

.

Usahlah kalian berkecil hati, pasti ada hikmah dari setiap ujian yang Allah SWT berikan ini. Fahamilah hikmah mengapa Allah SWT belum mempertemukan kita dengan jodoh yang didambakan.

 .

  1. Ujian Dipertingkatkan Darjat

.

Belum dipertemukan jodoh merupakan sebuah ujian! Ujian untuk menghadapi orang-orang yang kerap bertanya mengapa belum bernikah. Lumrahnya, pertanyaan ini bukan hanya pada orang yang belum bernikah itu sahaja, tetapi hal yang sama akan berlaku kepada ibu dan ayah serta ahli keluarga yang lain. Betul kan?

.

Kadang-kadang, pertanyaan tersebut sangat’ mencederakan’ emosi dan mengubah mood. Padahal mereka tidak tahu kita dan keluarga bersusah payah untuk mencari jodoh tersebut. Mereka juga tidak pernah tahu bahawa sudah begitu banyak doa dipanjatkan agar dipermudahkan urusan dalam mendapatkan jodohnya

.

Namun, jodoh yang diharapkan tak kunjung tiba. Kenapa ya? Kerana penentu tibanya jodoh bukanlah kita sendiri tetapi Dia yang Maha Menentukan.

.

Di sinilah manusia diuji untuk dipertingkatkan darjatnya kepada darjat yang lebih tinggi. Allah SWT hanya akan menguji kaum yang disenanginya. Jika mereka bersabar, maka besarlah nikmat Allah SWT berikan kepadanya. (HR Tirmizi)

.

Besar ujian, besarlah pahalanya!

.

2. Diberi Waktu Untuk Memperbaiki Diri

.

Mendapat jodoh yang baik dan soleh solehah tentu menjadi harapan setiap orang. Namun, jodoh itu ibarat cermin. Siapa yang menjadi jodoh kita adalah cerminan diri kita. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam Al-Quran yang bermaksud :

.

“Wanita-wanita yang tidak baik untuk lelaki-lelaki yang tidak baik, dan lelaki-lelaki yang tidak baik adalah untuk wanita-wanita yang tidak baik. Dan sebaliknya, wanita-wanita yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik untuk wanita-wanita yang baik-baik” (Surah An Nur:26)

.

Jika disaat ini anda belum bertemu jodoh, cubalah renung kedalam diri. Adakah kelakuan dan perbuatan kita sudah baik? Jika kita masih banyak menyimpang dari ajaran Allah, maka alangkah bagusnya segera memperbaikinya. Jadi, bila sikap dan tingkahlaku kita sudah baik, in Shaa Allah jodoh yang Allah sediakan juga baik-baik.

.

Allah suruh kita jadi baik dulu, sebab Dia nak bagi yang terbaik buat kita!

.

jodoh_rahsia_allah_by_mezie93-d6g4eah

 Sumber Gambar

.

  1. Allah Memberi Waktu Untuk Membahagiakan Orang-orang Tersayang

.

Semua orang tahu bahawa apabila sudah berkahwin, maka tanggungjawab lebih besar untuk suami atau isteri. Perhatian terhadap keluarga secara automatiknya akan berkurang. Jadi, jika disaat ini anda masih belum bertemu jodoh, manfaatkanlah masa dan peluang yang ada untuk memberi kebahagiaan kepada ibu, ayah dan adik-beradik.

.

Rahsia Allah, mungkin mereka masih memerlukan anda sepenuhnya pada saat ini. Dengan itu, menunggu jodoh tidak akan menjadi satu penantian yang sia-sia kerana anda berpeluang untuk berbakti kepada ibu ayah sepenuhnya. Itukan IBADAH!

.

  1. Perancangan Allah, Kerana Dia Maha Tahu Segala Isi Hati HambaNya.

.

Siapa yang lebih tahu keperluan isi hati dan jiwa raga kita? Sudah tentulah Allah SWT, pencipta kita. Walaupun kita rasa sangat sedih dan kecewa kerana belum dipertemukan jodoh, pasti ada sesuatu disebaliknya.

.

“Boleh jadi kamu mencintai sesuatu padahal sesuatu itu amat buruk bagimu, dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal itu amat baik bagimu. Kamu tidak mengetahui sedangkan Allah Maha Mengetahui” (Surah Al-Baqarah : 216)

.

Bersangka baiklah kamu kepada ALLAH SWT yang Maha Mengetahui! Dan Allah akan bertindak mengikut sangkaan hambaNya terhadapNya.

.

Bagi yang belum bertemu jodoh mahupun yang sudah, jangan kita lupa bahawa JODOH ITU ADALAH MISTERI dan ia adalah RAHSIA ALLAH!

24 Jun
9 Ciri Istri Pengundang Rezeki Suami

Jodoh Itu Rezeki, Carilah Yang Terbaik!

SEGELINTIR daripada kita sering ditebak dengan persoalan jodoh. “Kamu belum kahwin lagi? Umur berapa ye?”, “Memilih sangat kot, sebab tu payah nak lekat sampai jodoh pun takut nak dekat.” Antara kata-kata yang sering menyapa telinga kebanyakan anak gadis dan teruna yang belum sampai jodohnya. Sememangnya persoalan  jodoh bukan urusan kita, jodoh itu rezeki dari ALLAH SWT. Dia yang tentukan segala-galanya.

.

Jodoh itu rezeki

Jodoh adalah perkara kecil berbanding impian kita untuk menegakkan syiar Islam. Ingatlah, apabila tingginya cita-cita kita untuk menegakkan agama-Nya, insya-ALLAH, Dia akan mempermudah soal jodoh.

.

Demikianlah ucapan pembuka bicara daripada pendakwah, Ustaz Pahrol Mohd Juoi semasa menyampaikan pembentangannya bertajuk Susah Cari Jodoh dalam Konvensyen Kontrak Cinta Ke Syurga pada 1 Mei lalu bertempat di Auditorium Utama, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Gombak, Selangor.

.

“Saya memetik kata-kata seseorang yang saya hormati ilmunya. Dia berkata begini, ALLAH bagi rezeki pada seseorang mengikut keinginannya untuk bertanggungjawab. Semakin tinggi komitmen dia untuk bertanggungjawab semakin banyak rezeki yang ALLAH beri padanya. Kalau dia nak bertanggungjawab sekadar keluarganya mungkin dia dapat rezeki banyak tu, tapi keluarganya, ibu bapanya, ibu bapa mertuanya yang susah dan juga adik beradiknya. ALLAH bagi rezeki mengikut keinginan kita untuk bertanggungjawab, semakin keinginan dan komitmen kita untuk bertanggungjawab semakin besar. Maka ALLAH akan bagi lebih rezeki kepada kita.

.

“Termasuk dalam soal rezeki adalah jodoh, jodoh adalah rezeki. Pasang dan siapkan cita-cita yang besar. Insya-ALLAH, ALLAH akan hantar orang untuk membantu kita melaksanakan cita-cita yang besar. Katakan, saya ingin rumah tangga yang Islam, supaya tertegaknya baitul Muslim. Dan saya nak melahirkan zuriat yang soleh dan solehah bahkan mujahid dan mujahadah yang dikatakan untuk jadikan imam yang bertakwa. ALLAH akan kurniakan solehah untuk kita dan Lelaki yang ‘besar’ untuk membantu kita ke jalan-Nya. Jagalah hak ALLAH nescaya ALLAH akan menjaga kita,” katanya kepada hampir 150 peserta terdiri dalam kalangan belia.

.

Menurutnya, hadiah terbaik seorang ayah kepada anaknya adalah menyayangi ibu kepada anaknya yakni isterinya. Jadi carilah bakal suami yang boleh memberikan kita hadiah terbaik. Kata Imam Ghazali: “Sebelum anak-anak dibawa takut kepada ALLAH, hendaklah anak-anak itu dididik supaya takut dan hormat kepada ayahnya terlebih dahulu. Dan siapa yang bertanggungjawab untuk membawa ke arah itu, ibunya (isteri).”

.

Nasihat beliau, isteri atau ibu jangan perlekeh suami (si ayah) di hadapan anak-anak, tidak boleh! rosak institusi kerana ayah adalah pemimpin. Seorang pemimpin yang lemah lebih baik daripada tiada pemimpin langsung. Kalau anak sudah tidak percaya kepada si ayah, hancur rumah tangga. Isteri atau ibu jangan tuturkan kata seperti: “Itulah ayah kamu, pandai cakap je, tapi tak buat.” “Tengok ayah kamu bangkit Subuh pun lambat”.

.

Sedikit sebanyak inti pati dalam konvensyen anjuran Maahad Tahfiz Sains Fatimah Az-Zahrah, Pusat Bandar Sri Gombak, Gombak. Objektif utama penganjuran konvensyen ini adalah untuk memberi gambaran jelas mengenai konsep mencari jodoh dalam Islam yang berlandaskan al-Quran dan sunnah di samping memberi pendedahan akan cara-cara yang dapat dilakukan pihak lelaki mahupun pihak perempuan dalam mendapatkan jodoh.

.

Selain turut memberi pendedahan kepada pasangan yang akan mendirikan rumah tangga berkenaan aspek-aspek penting dalam melangsungkan perkahwinan termasuk cabaran yang perlu ditempuhi dalam fasa pertunangan termasuk persoalan adat-adat yang selari dan bertentangan dengan Islam serta pengurusan kewangan yang bijak dalam menuju bahtera pertunangan.

.

USTAZ Pahrol menyambung lagi, dalam tempoh empat bulan di alam rahim, semua sudah ditentukan ALLAH termasuk yang dikatakan kematian, amalan, rezeki dan siapa jodoh kita. Respons kita terhadap mencari jodoh sama seperti mencari rezeki. Rezeki ada dua bentuk, satu rezeki yang kita cari dan satu lagi rezeki yang cari kita.

.

“Kalau kita tukar perkataan rezeki itu jadi jodoh, ada dua jawapannya satu kita yang cari jodoh satu lagi jodoh yang cari kita. Cuba kita lihat anehnya rezeki, jadikan cicak sebagai contoh untuk lebih memudahkan kita faham, makanannya adalah serangga yang berterbangan bukan. Kalau kita fikir secara logik, tidak adil bagi ALLAH kenapa cicak tidak diberikan sayap, tetapi kita tidak pernah dengar cicak kebuluran sampai tidak makan, begitu juga dengan periuk kera, ia langsung tidak boleh bergerak, tetapi rezekinya bergerak dan ia boleh makan.

.

“Di sini, saya tekankan tidak salah kita cari jodoh tetapi dengan keyakinan tinggi, doa, usaha dan tawakal ada jodoh yang akan cari kita. Sebab itu kalau kita lakukan tinjauan, tidak ramai yang berkahwin dengan lelaki pilihan mereka. Majoritinya kahwin dengan individu yang tidak diduga.

.

“Jangan kita kata: “Ustaz, saya tidak mahu cari cinta, tapi saya mahu cinta cari saya,”. Kenalah usaha. Pegang kata-kata ini, Tuhan telah ciptakan rezeki untuk burung tetapi burung kena terbang cari rezeki. Betulkan niat, sangka baik. Insya-ALLAH ada untuk kita,” ulasnya lanjut.

.

Tambah beliau, ada sahabat beliau yang pinangan kepada wanita sering ditolak, namun sahabat itu tidak pernah malu, sahabat itu berpendapat dia mengikut jalan yang baik malah bersyariat pula. Setiap percubaan dikira pahala sebab dia mahu membina masjid. Begitu juga kepada wanita di luar sana, wanita itu menjadi perigi cari timba dan ditolak, itu bukan masalah.

.

Teladanilah kisah ini, Siti Habsah yakni anak kepada Saidina Umar, Saidina Umar menawarkan anak gadisnya kepada Saidina Ali bin Abi Talib tetapi ditolak, kepada Uthman juga sama dia ditolak akhir sekali kepada Abu Bakar juga ditolak. Apa kata Rasulullah SAW, aku akan kahwini Siti Habsah.

.

Masyarakat dahulu menganggap perihal cinta ini biasa-biasa, apa yang penting bagi mereka adalah matlamat perkahwinan. Zaman sekarang tidak! Usah anggap cinta itu tuhan sama seperti yang dipaparkan dalam filem mahupun drama tayangan di kaca televisyen. Cinta memang penting tapi biar cinta kita bertasbih kepada ALLAH.

.

Walaupun, kita sekarang belum mendapat jodoh tetapi niat ALLAH akan dipermudahkan. Ibu bapa niatkan pada anak mahu mempermudah dan cepatkan jodohnya. Sungguhpun saat itu belum ada anak lagi.

.

jodoh

Sumber Gambar

.

Peranan orang tengah

Ustaz Pahrol menjelaskan lagi, ada empat cara cari jodoh pertama: Jadi orang yang baik. Kedua: Ikut pilihan orang baik (orang beriman sifatnya mahu sesuatu yang baik kepada orang lain, waktu dia mahu memilih calon untuk kita dia seolah-olah memilih calon untuknya), ketiga: ikut cara yang baik (baik ikut ukuran adat berbeza dengan ikut aturan syariat), dan keempat: Tawakal dengan bersangka baik (kalau ALLAH lewatkan jodoh aku itu peluang aku bersedia untuk jadi suami yang baik, manalah tahu kalau ALLAH percepatkan jodoh aku tetapi pada masa itu aku tidak bersedia lagi, mungkin itu mudarat bagiku). Hayati firman ALLAH dalam Surah Al-Baqarah ayat 126 untuk memahami dengan lebih jelas perihal ini.

.

“Jangan ada sangka-sangka yang negatif, tidak mengapa! kalau ALLAH tak bagi kita jodoh pun di dunia ini ertinya Dia simpan jodoh kita di akhirat, sebab ALLAH pilih sesuatu yang terbaik untuk hamba-Nya. Kita lihat dalam kisah Siti Asiah. Siti Asiah adalah orang yang paling solehah dan ALLAH janjikan sebuah rumah dalam syurga kepadanya. Kalau kita fikir kenapa ALLAH kahwinkan Siti Asiah dengan Firaun sedangkan dia boleh dapat yang terbaik. Suaminya membunuhnya dan ALLAH menyimpan kebahagiaannya di akhirat. Dalam satu tarbiah yang saya dengar, calon suami Siti Asiah adalah lelaki terbaik di akhirat nanti. Indah bukan percaturan ALLAH. Dunia ini sekejap sahaja, kalau jadi andartu pun jadilah tapi jangan lakukan sesuatu yang melanggar syariat semata-mata untuk dapat jodoh dan jangan menggadai diri. Bersangka baik dan tawakal. Insya-ALLAH! ALLAH akan jawab doa hamba-Nya.

.

“Pilih atau jadilah orang tengah yang adil, sama ada ibu, bapa atau guru atau sesiapa sahaja yang bersesuaian untuk menjadi orang tengah kepada pembinaan sesebuah rumah tangga. Tapi harus diingat, ada satu kes di mana seseorang itu menjadi orang tengah dan dia menolong kawannya mencarikan jodoh, sementalah pula dia belum berkahwin. Akhirnya, dia pintas wanita yang dicalonkan untuk kawannya itu sedangkan tidak dibenarkan pinang atas pinangan orang lain,” katanya dengan tegas.

.

Dalam masa yang sama beliau turut menyentuh perihal perlukah berpoligami. Poligami bukan sahaja memerlukan kebijaksanaan tetapi perlu diiringi dengan kesabaran yang tinggi dan jangan dibuat sesuatu itu dengan alasan untuk berseronok atau suka-suka, betulkan niat. Poligami boleh menjadi suatu penderitaan di dunia sebelum melalui penderitaan yang hebat di akhirat jika tersilap langkah.

.

Bilangan wanita ramai atau lelaki sedikit tidak boleh dijadikan faktor untuk berpoligami sebaliknya, kualiti poligami itu dilihat kepada keupayaan seseorang lelaki  berkenaan. Melihat kepada sejarah Islam, kita lihat kepada berapa ramai dalam kalangan sahabat yang tidak mengamalkan poligami, Ramainya sahabat berpoligami kerana disebabkan ramai lelaki atau suami yang syahid di medan perang menyebabkan janda tidak terbela. Mereka mahu membela nasib balu-balu yang kematian suami.

.

Akhir kalam, ingatlah wanita dan lelaki di luar sana, carilah pasangan yang benar-benar layak untuk menjadi imam dan makmum dalam hidupmu. Carilah mereka dalam dengan doa, usaha dan tawakal sepenuhnya kepada-Nya. Insya-ALLAH, pasti Dia kabulkan doa hamba-Nya.

.

 Artikel ini ditulis oleh SYAHIDATUL AKMAL DUNYA di Sinar Harian.
20 May
tj

4 Perkara Dalam Pemilihan Jodoh

Rasulullah s.a.w pernah bersabda,“ Seorang wanita itu dinikahi kerana empat perkara: kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka hendaklah diutamakan yang beragama,

nescaya bahagialah hidup kamu.”

Hadis riwayat Imam Bukhari dan Imam Muslim.

 

1)Berharta

Baik lelaki dan wanita perlu mencari pasangan yang arif dalam mengendalikan harta, membina harta kekayaan  dan bukan hanya semata-mata berharta sebelum menjalani kehidupan berumahtangga.

 

2)Keturunan

Keturunan yang dimaksudkan bukanlah dikira daripada segi kebangsawanan, kasta atau kedudukan dalam masyarakat.  Keturunan yang dimaksudkan adalah daripada nasab seseorang yang tidak bercampur dengan penzinaan. Apa ertinya seorang lelaki menjadikan wanita bangsawan sebagai isteri namun dalam tubuhnya mengalir darah seorang penzina. Sekiranya lelaki dan wanita penzina itu bertaubat, maka boleh dipertimbangkan. Namun pilihlah daripada keturunan yang baik-baik.

BAIK

Sumber Gambar

3)Kecantikan

Kecantikan wanita dan kekacakan lelaki bersifat subjektif. Mungkin Lelaki A memandang Wanita X tidak cantik, tetapi Lelaki B memandang Wanita X  sangat cantik, begitu juga bagi wanita yang memandang lelaki. Hakikatnya, fitrah manusia memang sukakan kecantikan. Kecantikan sebenar boleh diukur daripada kecantikan akhlak dan tutur bicaranya dan bukan pada kecantikan luaran sahaja.

 

4)Agama

Namun daripada semua yang diatas, agama lah yang paling penting dan terutama dalam pemilihan calon jodoh. Tanpa agama, kehidupan berumahtangga yang dibina mungkin mengalami masalah dan hilang arah.  Hakikatnya dengan agamalah sesebuah keluarga sakinah (tenang) , mawaddah (rasa cinta) serta rahmah (kasih sayang) terbentuk  dan disitulah lahirnya anak-anak yang soleh dan solehah yang mampu meneruskan perjuangan Islam. In shaa Allah.