Pernahkah anda menyukai seseorang dalam diam? Atau pernahkah anda mencintai seseorang dengan sepenuh hati? Tahukah anda cinta dan suka itu mempunyai makna yang berbeza. Anda boleh menyukai seseorang tetapi tidak mencintai mereka. Tetapi anda tidak boleh mencintai seseorang tanpa menyukai mereka. 

Cinta itu membawa makna yang mendalam. Pernahkah anda mendengar frasa ‘Tak kenal maka tak cinta’? Inilah yang dimaksudkan bahawa untuk mencintai seseorang itu, kita harus mengenali mereka terlebih dahulu. Jika anda melihat seorang artis yang berwajah tampan dan mengambil tahu tentang segala hal peribadinya serta berasa sangat teruja dengan lakonan atau persembahannya, ini bukan dimaksudkan dengan cinta. Ini dikategorikan sebagai sifat suka yang tidak berkekalan. 

Perkataan cinta ini bermaksud perasaan suka dan sayang yang mendalam terhadap seseorang atau sesuatu yang membuatkan anda sanggup untuk berkorban apa jua untuk mempertahankan cinta ini. Cinta juga boleh dikategorikan kepada beberapa bentuk. Yang pertama, cinta terhadap Allah SWT dan Rasul-Nya. Yang kedua, cinta terhadap manusia seperti pasangan suami isteri, ibu bapa atau adik beradik. Seterusnya, cinta terhadap hari Akhirat. 

Apakah yang dimaksudkan dengan cinta terhadap Allah SWT dan Rasulullah SAW? Inilah merupakan cinta yang teragung dan bersifat kekal abadi yang tiada penghujungnya. Cinta terhadap Tuhan dan Rasul-Nya dapat dilihat melalui perbuatan yang meninggalkan segala larangan-Nya dan melakukan segala perintah-Nya seperti yang telah diajar oleh Rasulullah SAW. Nabi Muhammad SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis Riwayat Muslim, 

“Seseorang tidaklah beriman (dengan sempurna) sehingga saya (Rasulullah SAW) lebih dicintainya berbanding anak dan ibu bapanya serta manusia lain keseluruhannya.”

Allah SWT juga berfirman dalam Surah Al-Ahzab ayat ke 6 yang menyatakan, 

“Nabi itu hendaklah lebih utama bagi orang beriman melebihi diri 

mereka sendiri.”

Maka dapatlah kita lihat disini betapa tingginya status sesebuah cinta yang wajar disalurkan terhadap Rasulullah SAW. Betapa tingginya darjat baginda sehinggakan Allah SWT memerintah setiap hamba-Nya untuk menyayangi Nabi SAW melebihi sesiapa sahaja kecuali Allah SWT.

Kategori cinta yang kedua ialah cinta terhadap ciptaan Allah SWT yang bersifat tidak berkekalan. Contohnya, perasaan cinta terhadap manusia seperti teman lelaki atau wanita yang tiada ikatan sah. Melainkan perasaan cinta antara suami dan isteri, ibu bapa, atau ahli keluarga, maka barulah ini yang dimaksudkan akan berkekalan ke Syurga Allah. Cinta ini dianggap suci dan mulia di sisi Allah SWT. Pasangan suami dan isteri yang saling mencintai dan menyayangi kerana Allah SWT akan dipelihara dan dirahmati oleh-Nya. Manakala kasih sayang terhadap ibu bapa itu juga sungguh mulia sehinggakan dijamin syurga oleh Tuhan. Cinta antara manusia sebegini akan memberi jaminan buat diri kita di hari Akhirat kelak.

Bagaimana pula dengan cinta terhadap hari Akhirat? Orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang meletakkan cinta dunia di tangan, manakala Akhirat di hati. Mereka akan mengimbangi urusan dunia dan akhirat dan segala perbuatan sia-sia serta larangan Tuhan akan dijauhi. Inilah yang dimaksudkan dengan cinta terhadap hari Kiamat yang kekal selamanya.